Ubah Sikap Lebih Proaktif

Tidak dinafikan ada golongan muda kurang aktif dalam bidang diceburi. Kadangkala dengan gaya hidup yang selalu dimanjakan ibu bapa, mereka takut menghadapi risiko dan tekanan dihadapi ketika bekerja.

Penulis percaya bukan mudah bertukar sikap menjadi lebih proaktif. Pasti memakan masa dan memerlukan disiplin yang ternyata bercanggah dengan kehidupan yang sudah biasa dimanjakan. Hakikatnya, untuk menghadapi risiko pekerjaan yang memerlukan daya pemikiran kreatif dan idea inovatif, perlulah bersiap sedia agar tidak kekok apabila bekerja nanti.

Menjadi proaktif adalah lebih baik kerana ia mendidik kamu menjadi lebih berdisiplin dan boleh berdaya saing dengan cara yang sihat. Gen Y ada sedikit tip yang boleh diamalkan untuk berubah secara konsisten.

1. Ketika bekerja, pasti ada tugas penting yang perlu dilakukan, namun disebabkan tidak ingin menghadapi risiko, kamu bersikap acuh tak acuh dalam melakukan tugas itu seterusnya menyebabkan hasil kerja kamu tidak memuaskan. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah ubah pemikiran positif bahawa ‘aku boleh buat’ dan elakkan berfikir yang tugas itu sangat berat dan tidak sesuai dengan kamu.

2. Disiplin adalah elemen utama dalam perubahan kamu menjadi lebih proaktif. Jika sebelum ini disiplin tidak dijaga dan banyak kali melakukan sesuatu tanpa peraturan, apa kata ubah sikap itu dengan segera. Mula-mula perlu terapkan gaya hidup yang mempunyai peraturan. Misalnya, kamu tidak boleh menangguhkan kerja dan pada masa yang sama perlu menjadi lebih aktif dan tidak terlalu pasif.

3. Jika terbabit dalam sesuatu perbincangan yang memerlukan idea kreatif, tunjukkan bakat kamu. Antaranya cipta dulu pelan seandainya pelan pertama tidak menjadi. Pendek kata, bersiap sedia terlebih dulu. Sebelum perbincangan bermula, latih diri untuk mencari maklumat yang berkaitan dengan topik yang ingin dibincangkan di Internet. Ini boleh menjadikan kamu lebih berilmu dan banyak idea.

4. Selain itu, amat penting untuk kamu ubah cara berfikir. Jika sebelum ini kamu asyik merengek dan sedih terhadap masalah yang melanda, kali ini cuba fikir cara untuk atasinya. Antara gaya hidup remaja proaktif adalah sentiasa tahu menyelesaikan masalah apabila ia muncul. Mungkin masalah itu tidaklah mudah diselesaikan, tapi kamu perlu bijak untuk tidak mengheret masalah peribadi ke dalam karier kamu.

5. Jika orang yang lebih pasif banyak membazirkan duit kerana tidak tahu menyimpan, kamu juga boleh mencipta kelainan. Setiap kali peroleh gaji, sediakan perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan untuk menjanjikan perbelanjaan yang lebih sistematik dan jauh daripada pembaziran.

6. Menjadi proaktif juga bermaksud tahu membezakan tugas mana yang penting dan sebaliknya. Jika sebelum ini kamu tidak mempunyai perancangan yang betul dan selalu mengutamakan tugas yang tidak penting, ubah segera. Cara terbaik adalah membahagikan tugas dengan efisyen. Contohnya mendahulukan tugas yang lebih utama.

7. Akhir sekali, luaskan pergaulan dan banyakkan membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan. Lebih proaktif bermaksud lebih berilmu berbanding mereka yang pasif. Ia bukan saja mendidik kamu jadi lebih berdaya saing, berfikiran terbuka dan berdisiplin, tapi juga menukar gaya hidup kamu yang dulunya kerap bergantung dan sukar menerima risiko akan sesuatu.


sumber: Harian Metro Online

 

Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments: